Selepas menghadapi satu lagi masalah kesihatan, saya takut terhadap perkara yang tidak diketahui dan tidak terkawal. Pada suatu hari, semasa membaca sebuah artikel dalam majalah Forbes, saya mengetahui bahawa saintis telah mengkaji kenaikan “halaju putaran Bumi” dan mengisytiharkan bahawa Bumi “bergoyang” dan “berpusing lebih laju.” Mereka berkata kami “boleh melakukan ‘kejatuhan detik’ yang pertama—penyingkiran satu saat daripada masa global.” Walaupun satu saat tidak kelihatan seperti satu kerugian, namun putaran Bumi yang boleh berubah adalah sesuatu hal yang besar bagi saya, kerana sedikit ketidakstabilan boleh membuatkan iman saya berasa goyah. Walau bagaimanapun, setelah mengetahui bahawa semua hal ada dalam kawalan Tuhan, fakta ini membantu saya mempercayai-Nya, tidak kira betapa menakutkan perkara yang tidak diketahui atau betapa goyahnya cabaran kita.

Dalam Mazmur 90, Musa berkata, “Sebelum gunung-ganang diwujudkan atau Engkau membentuk bumi dan dunia, dari selama-lamanya hingga selama-lamanya, Engkau ialah Allah” (ayat 2). Dengan mengakui kuasa Tuhan yang tidak ada batasannya ke atas seluruh ciptaan, Musa mengisytiharkan bahawa masa tidak dapat membatasi Tuhan (ayat 3-6).

Apabila kita berusaha untuk lebih mengenali Tuhan dan keindahan dunia yang diciptakan-Nya, kita akan mendapati bahawa Dia terus menguruskan masa dan semua yang diciptakan-Nya dengan sempurna. Tuhan dapat dipercayai dalam setiap perkara yang belum diketahui dan perkara baru di dalam hidup kita juga. Semua ciptaan kekal selamat di dalam tangan Tuhan yang penuh kasih.