Seorang rakan sekerja pernah memberitahu saya bahawa kehidupan doanya telah bertambah baik disebabkan oleh pengurus kami. Saya kagum, dan berfikir bahawa ketua kami yang sulit bekerja bersama telah berkongsi secebis pelajaran rohani dengannya dan mempengaruhi cara doanya. Rupa-rupanya saya salah. Rakan sekerja saya itu menjelaskan: “Setiap kali saya melihatnya datang, saya mulai berdoa.” Masa berdoanya telah bertambah baik kerana dia berdoa lebih banyak sebelum dia memulakan apa-apa perbualan dengannya. Dia tahu dia memerlukan pertolongan Tuhan untuk menjalinkan hubungan pekerjaan yang mencabar dengan pengurus itu, maka dia mengambil lebih banyak masa untuk memohon pertolongan Tuhan.
Seperti rakan sekerja itu, saya berdoa kepada Tuhan ketika melalui masa yang sukar untuk berinteraksi dengan orang lain. Ia adalah amalan yang ditemui dalam 1 Tesalonika ketika Paulus mengingatkan orang-orang percaya supaya berdoa sepanjang masa dan bersyukur dalam segala keadaan (5:17-18). Tidak kira apa pun yang kita hadapi, doa selalu merupakan amalan terbaik. Doa menghubungkan kita dengan Tuhan dan menjemput Roh-Nya untuk memimpin kita (Galatia 5:16), lebih baik daripada kita bersandar pada hasrat kemanusiaan kita. Ini dapat membantu kita hidup “bersama-sama dalam aman damai” (1 Tesalonika 5:13) meskipun ketika kita menghadapi konflik.
Ketika Tuhan menolong kita, kita dapat bersukacita di dalam-Nya, berdoa untuk segalanya, dan mengucap syukur selalu. Amalan ini akan membantu kita hidup dengan lebih harmoni dengan saudara dan saudari seiman kita.