United Kingdom penuh dengan sejarah. Ke mana sahaja anda pergi, anda akan melihat plak yang bertujuan untuk menghormati tokoh bersejarah atau memperingati tapak bagi sesuatu peristiwa penting yang pernah berlaku. Tetapi ada sebuah tanda menggambarkan rasa kelakar British. Pada plak yang lapuk di luar sebuah hotel kecil di Sandwich, England, satu mesej berbunyi, “Di tapak ini, 5 Sept. 1782, tiada apa-apa yang berlaku.”

Kadangkala kita juga berasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku selepas kita berdoa. Kita terus berdoa dan berdoa, membawa permohonan kita kepada Bapa kita dengan harapan bahawa Dia akan menjawab kita—sekarang juga. Pemazmur Daud menyatakan kekecewaan sedemikian ketika dia berdoa, “Berapa lamakah, ya TUHAN, akan Kaulupakan aku selama-lamanya? Berapa lamakah Engkau akan menyembunyikan wajah-Mu daripadaku?” (Mazmur 13:1). Kita boleh dengan mudah mengulangi pemikiran yang sama: Berapa lamakah, Tuhan, sebelum Engkau menjawab aku?

Walau bagaimanapun, Tuhan kita bukan sahaja sempurna dalam kebijaksanaan-Nya, tetapi juga dalam masa-Nya. Daud dapat berkata, “Aaku yakin akan kasih setia-Mu; aku bersukacita dalam penyelamatan-Mu” (ayat 5). Pengkhutbah 3:11 mengingatkan kita, “[Tuhan] menjadikan segala sesuatu indah pada waktunya”. Perkataan indah bermaksud “sesuai” atau “sumber kegembiraan.” Tuhan mungkin tidak sentiasa menjawab doa kita seperti yang kita ingini, tetapi Dia sentiasa melaksanakan tujuan-Nya yang bijaksana. Kita harus tahu bahawa apabila Dia menjawab doa, keadaan akan menjadi betul, baik dan indah.