Biasanya Patrick tidak membawa wang tunai bersamanya, namun hari itu dia merasakan bahawa Tuhan mengingatkannya untuk memasukkan wang lima dolar ke dalam poketnya sebelum dia pergi bekerja. Pada waktu makan tengah hari di tempat kerjanya di sebuah sekolah, dia sedar Tuhan menyediakan dia untuk membantu seorang kanak-kanak yang memerlukan pertolongan dengan segera. Di tengah-tengah keriuhan di kantin pada tengah hari itu, dia mendengar seseorang berkata: “Scotty (seorang anak yang ada kekurangan) memerlukan $5 untuk dimasukkan ke dalam akaunnya supaya dia dapat makan tengah hari sepanjang minggu ini.” Bayangkan perasaan Patrick ketika dia memberikan wangnya untuk membantu Scotty!
Dalam suratnya kepada Titus, Paulus mengingatkan orang-orang yang percaya kepada Yesus bahawa mereka diselamatkan bukan “kerana perbuatan benar yang [mereka] lakukan” (3:5), tetapi mereka dinasihati untuk “berikanlah perhatian … sepenuhnya untuk melakukan segala yang baik” (ayat 8; lihat ayat 14). Kadangkala jadual harian kita boleh menjadi terlalu penuh dan sibuk. Ketika menjaga kesejahteraan kita sendiri pun, keadaan boleh menjadi sangat membebankan. Namun, sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita harus bersedia untuk “melakukan segala yang baik.” Daripada tertekan dengan apa yang kita tidak ada dan tidak dapat lakukan, lebih baik kita fikirkan tentang apa yang kita ada dan dapat lakukan kerana Tuhan akan menolong kita. Dengan berbuat demikian, kita dapat membantu orang lain menurut keperluan mereka, dan Tuhan dimuliakan. “Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga” (Matius 5:16).