Filem Little Women pada tahun 2019 yang luar biasa itu membawa saya kembali kepada naskhah novel saya yang usang, terutamanya kata-kata penghiburan Marmee, seorang ibu yang bijak dan bersifat lembut dalam cerita tersebut. Saya tertarik dengan penggambaran novel tentang imannya yang teguh, yang mendasari kata-kata galakan bagi anak-anak perempuannya. Salah satu katanya yang menarik bagi saya ialah: “Kesusahan dan godaan … mungkin banyak, tetapi anda boleh mengatasi dan menghadapi semuanya jika anda belajar untuk mengalami kekuatan dan kelembutan Bapa kamu yang di syurga.”

Kata-kata Marmee mengingatkan kita kebenaran yang terdapat dalam Amsal, bahawa “Nama TUHAN ialah menara yang kukuh, orang benar lari ke sana dan mendapat keselamatan” (18:10). Biasanya, menara dibina di kota-kota purba supaya orang boleh lari ke situ untuk mendapatkan perlindungan semasa keadaan bahaya, misalnya apabila kota diserang musuh. Sama halnya apabila kita lari ke tempat selamat yang disediakan Tuhan, orang Kristian dapat merasakan damai kerana Dialah ialah “Pelindung dan Pemberi kekuatan kepada kita” (Mazmur 46:1).

Amsal 18:10 memberitahu kita bahawa perlindungan datang daripada “nama” Tuhan—yang kesemuanya merujuk kepada siapa Dia. Kitab Suci menggambarkan Tuhan sebagai “Allah penyayang dan pengasih, panjang sabar, serta berlimpah kasih dan setia” (Keluaran 34:6). Perlindungan Tuhan datang daripada kekuatan-Nya yang perkasa, serta kasih dan sifat-Nya yang lemah lembut , maka Dia ingin sekali memberikan perlindungan kepada orang-orang yang hatinya terluka. Bagi orang yang dalam pergelutan, Bapa kita yang di syurga menawarkan tempat perlindungan yang disertai kekuatan dan sifat-Nya yang lemah lembut.