Bangunan Dewan Bandaraya Brisbane di Australia merupakan sebuah projek tahun 1920-an yang mempesonakan. Tangga-tangganya yang berwarna putih diperbuat daripada marmar yang terkenal dari kuari yang sama digunakan oleh Michelangelo untuk menghasilkan arca Daud. Menara dewan itu mencerminkan kemegahan Gereja St. Mark di Venice, dan kubah tembaganya adalah yang terbesar di Hemisfera Selatan. Para pembina berhasrat untuk meletakkan sebuah patung Malaikat Damai yang besar untuk menghiasi puncak bangunan itu, tetapi mereka terdapat masalah kewangan. Pada masa itu seorang tukang paip yang bernama Fred Johnson datang untuk menyelamatkan keadaan. Dia menggunakan tangki tandas, tiang lampu lama, dan kepingan besi buruk untuk mencipta bola ikonik yang memahkotai menara itu selama hampir seratus tahun.

Seperti Fred Johnson menggunakan apa yang dia ada, kita juga dapat melayani Tuhan dengan apa yang kita miliki—besar atau kecil. Apabila Tuhan meminta Musa memimpin orang Israel keluar dari Mesir, Musa menolak, “Tetapi mereka tidak akan … mendengar kata-kataku?” (4:1) Tuhan menjawab dengan soalan mudah: “Apakah yang ada di tanganmu itu?” (ayat 2). Musa memegang sebatang tongkat yang biasa. Tuhan menyuruh dia mencampakkan tongkat itu ke tanah, “lalu tongkat itu menjadi ular” (ayat 3). Kemudian Dia mengarahkan Musa menangkap ekor ular itu, dan ular kembali menjadi tongkat. Tuhan berkata bahawa apa yang perlu dilakukan oleh Musa adalah hanya membawa tongkat itu dan percaya kepada pekerjaan Tuhan. Secara luar biasa, Tuhan menggunakan tongkat di tangan Musa itu untuk menyelamatkan Israel daripada orang Mesir pada masa kemudian (7:10-12; 17:5-7).

Apa yang kita ada mungkin kelihatan kecil bagi kita, tetapi dengan Tuhan, apa pun yang kita miliki, ia pasti mencukupi. Tuhan akan menggunakan apa yang kita ada untuk melakukan pekerjaan-Nya, meskipun apa yang kita miliki mungkin biasa sahaja.