Ketika kali pertama kami bertemu dengan Henry, iaitu jiran kami, dia mengeluarkan Alkitab usang dari begnya. Matanya bersinar kegembiraan, dan bertanya sama ada kami berminat untuk membincang tentang Kitab Suci. Kami mengangguk, maka dia menyelak beberapa petikan yang telah diserlahkannya. Dia menunjukkan kepada kami buku nota yang penuh dengan kajiannya dan berkata bahawa dia juga telah mendigitalkan maklumat-maklumat lain yang berkaitan dalam komputer.

Henry terus memberitahu kami bahawa dia berasal daripada keluarga yang susah. Kemudian, ketika hidupnya dalam keadaan yang paling sukar dan keseorangan, dia telah menerima kematian dan kebangkitan Yesus sebagai dasar imannya (Kisah Para Rasul 4:12). Hidupnya telah berubah apabila Roh Kudus menolong dia menerapkan prinsip-prinsip Alkitab. Walaupun Henry telah menyerahkan hidupnya kepada Tuhan bertahun-tahun yang lalu, semangatnya tetap segar dan kuat dalam Kristus.

Saya juga percaya kepada Yesus selama bertahun-tahun, dan semangat Henry telah memberi saya inspirasi untuk merenungkan semangat rohani saya sendiri. Rasul Paulus menulis, “Jangan biarkan kerajinanmu berkurangan; hendaklah semangat rohanimu tetap berkobar-kobar; sentiasa abdikan diri kepada Tuhan” (Roma 12:11). Itu seolah-olah satu perintah yang sukar, kecualilah saya merelakan Kitab Suci memupuk sikap-sikap yang membuatkan saya sentiasa bersyukur untuk semua yang telah dilakukan Yesus bagi saya.

Tidak seperti emosi yang tidak menentu dalam kehidupan kita, semangat bagi Kristus wujud melalui hubungan yang akrab dengan-Nya. Semakin kita belajar tentang Dia, Dia semakin berharga bagi kita dan kebaikan-Nya semakin melimpahi jiwa kita serta disalurkan ke dunia.