Ketika anak lelaki saya, Xavier berusia tiga tahun, dia meramas tangan saya semasa kami memasuki Akuarium Teluk Monterey di California. Sambil menunjuk ke arah sebuah patung sebesar saiz sebenar ikan paus kelasa yang tergantung di siling, dia berkata, “Besar betul!” Matanya bersinar kegembiraan sepanjang masa kami meneroka setiap pameran. Kami ketawa apabila melihat memerang memercikkan air semasa makan. Kami berdiri senyap di hadapan tingkap akuarium kaca yang besar, terpukau dengan obor-obor berwarna coklat keemasan yang menari di dalam air berwarna biru elektrik. “Tuhan yang mencipta setiap makhluk di lautan,” kata saya, “seperti Dia mencipta kamu dan saya.” Xavier berbisik, “Wah.”
Dalam Mazmur 104, pemazmur mengakui ciptaan Tuhan yang melimpah ruah dan menyanyi, “Dengan bijaksana Engkau telah mencipta segala-galanya; bumi penuh dengan milik-Mu” (ayat 24). Dia mengisytiharkan, “Laut yang besar dan luas, yang tidak terkira banyak isi di dalamnya–makhluk hidup yang kecil dan besar” (ayat 25). Pemazmur juga mengisytiharkan bahawa Tuhan itu menyediakan segala keperluan dengan murah hati sehingga semua ciptaan-Nya berasa amat puas hati (ayat 27-28). Dia juga menegaskan bahawa Tuhan telah menentukan hari kewujudan setiap orang (ayat 29-30).
Kita boleh menyanyikan pengisytiharan ini bersama pemazmur: “Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang hayatku; aku akan menyanyikan pujian untuk Allahku selagi aku hidup” (ayat 33). Setiap makhluk yang wujud, mahupun yang besar hingga yang kecil, dapat membawa kita memuji Tuhan kerana Dialah yang mencipta semuanya.