Baru-baru ini saya membaca sebuah novel tentang seorang watak, Nicola, yang enggan mengakui dia menghidapi kanser yang boleh membawa maut. Apabila rakan-rakan Nicola yang berasa gelisah dengan keadaannya dengan tegas meminta dia menerima kebenaran ini, akhirnya dia memberitahu alasannya untuk mengelakkan hakikat ini. “Aku telah mensia-siakan hidupku,” dia memberitahu mereka. Walaupun dilahirkan dengan bakat dan kekayaan, “Aku tidak melakukan apa-apa dalam hidup. Aku bersikap cincai, tidak pernah berusaha dengan gigih untuk apa-apa pun”, katanya. Bagi Nicola, ketika memikirkan bahawa dia akan meninggalkan dunia ini tanpa apa-apa pencapaian, segala ini sungguh menyakiti hatinya.

Ketika membaca novel itu, saya juga sedang membaca kitab Pengkhutbah dan mendapati kontrasnya yang jelas. Pengkhutbah tidak mahu kita mengelakkan realiti tentang kematian, “alam kubur yang kamu tuju kelak” (9:10). Walaupun itu sukar dihadapi (ayat 2), alam kubur boleh membawa kita menghargai setiap saat yang kita miliki sekarang (ayat 4), menikmati makanan dan saat-saat bersama keluarga kita (ayat 7-9), bekerja dengan tujuan (ayat 10), mengambil peluang dan cabaran (11:1, 6), serta melakukan semuanya itu di hadapan Tuhan yang akan kita jawab suatu hari nanti (ayat 9; 12:13-14).

Rakan-rakan memberitahu Nicola bahawa dia ialah seorang yang setia dan bermurah hati, maka ini membuktikan hidupnya tidak sia-sia. Namun, mungkin nasihat Pengkhutbah boleh menyelamatkan kita daripada krisis seperti itu di penghujung hidup kita: ingatlah Pencipta kita (12:1), ikut jalan-Nya, dan rangkul setiap peluang untuk hidup dan menghargai apa yang disediakan-Nya pada hari ini.