Pada bulan Julai tahun 2022, perdana menteri Britain terpaksa meletak jawatannya selepas orang ramai menganggap pentadbirannya tidak berintegriti (perdana menteri tersebut baru sahaja dilantik dan meletakkan jawatannya hanya selepas beberapa bulan!). Peristiwa itu tercetus apabila menteri kesihatan negara tersebut menghadiri majlis ibadah sarapan pagi parlimen tahunan, dia berasa bersalah tentang ketiadaan integriti dalam kehidupan awam, maka dia meletak jawatan. Apabila menteri lain turut meletak jawatan mereka, perdana menteri Britain menyedari bahawa dia juga harus mengundurkan dirinya. Detik tersebut adalah detik yang amat luar biasa, dan ini bermula daripada suatu persekutuan doa yang aman.

Orang yang percaya kepada Yesus dipanggil untuk berdoa bagi para pemimpin politik mereka (1 Timotius 2:1-2), dan Mazmur 72 merupakan panduan yang baik untuk berbuat demikian, kerana ia menjelaskan tanggungjawab seorang pemerintah dan doa boleh membantu mereka mencapainya. Mazmur 72 menggambarkan ciri-ciri pemimpin yang ideal sebagai seorang yang adil dan berintegriti (ayat 1-2), membela mereka yang lemah (ayat 4), dan melayani orang yang memerlukan (ayat 12-13) serta menentang penindasan (ayat 14). Peranan mereka dalam pentadbiran adalah amat penting ibarat “hujan yang mengairi bumi” (ayat 6), membawa kemakmuran ke sesebuah negara (ayat 3, 7, 16). Walaupun hanya Mesias yang mampu memenuhi peranan sedemikian dengan sempurna (ayat 11), apakah standard kepimpinan lain yang lebih baik untuk dicontohi selain daripada-Nya?

Kestabilan sesebuah negara dikawal oleh integriti pentadbirnya. Marilah kita mencari “pemimpin Mazmur 72” untuk negara kita dan mendoakan mereka supaya mereka memiliki ciri-ciri seorang pemimpin seperti yang terdapat dalam mazmur tersebut.