Saya sangat teruja untuk memakai cermin mata baru saya buat pertama kali, tetapi selepas beberapa jam, saya ingin membuangnya. Mata saya mula berasa sakit dan kepala saya pening kerana kesan sampingan daripada menyesuaikan diri dengan cermin mata tersebut. Telinga saya juga berasa sakit disebabkan oleh bingkainya. Keesokan harinya saya merungut apabila saya teringat bahawa saya perlu memakainya. Saya bergelut berulang kali untuk menggunakan cermin mata itu setiap hari agar badan saya dapat menyesuaikan diri. Setelah beberapa minggu, barulah saya membiasakan diri. Tetapi selepas itu, saya hampir tidak perasan bahawa saya sedang memakainya.

Kita memerlukan masa untuk membiasakan diri setelah memakai sesuatu yang baru, malah lama-kelamaannya, kita akan dapat menyesuaikan diri. Kita mungkin juga akan memerhatikan perkara yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Dalam Roma 13, rasul Paulus mengarahkan pengikut Kristus untuk “kenakan kelengkapan senjata cahaya” (ayat 12) dan mengamalkan kehidupan yang benar. Mereka telah percaya kepada Yesus, tetapi nampaknya mereka telah “tertidur” dan menjadi leka; mereka perlu “bangun” dan mengambil tindakan, berkelakuan baik dan membuang semua dosa (ayat 11-12). Paulus menggalakkan mereka mengenakan Tuhan Yesus Kristus dan menjadi lebih seperti Dia dalam pemikiran dan perbuatan mereka (ayat 14).

Jangan kita menganggap bahawa untuk menjadi serupa dengan Yesus yang bersifat penuh kasih, lemah lembut, baik hati, penuh rahmat dan setia akan berlaku hanya dalam satu hari. Perubahan sebegini merupakan proses yang panjang pada saat kita memilih untuk mengenakan “kelengkapan senjata cahaya” setiap hari, walaupun pada waktu kita tidak mahu memakainya kerana ia tidak selesa. Lama-kelamaan, Dia akan mengubah kita untuk menjadi lebih menyerupai-Nya.