Genevieve harus menjadi “mata” bagi tiga orang anaknya, ini kerana mereka masing-masing dilahirkan dengan katarak kongenital yang menyebabkan kebutaan. Setiap kali dia membawa mereka pulang ke kampung mereka di Republik Benin di Afrika barat, dia akan mengikat bayinya di belakangnya serta memegang lengan dan tangan dua orang anaknya yang lebih tua, malah harus sentiasa berwaspada terhadap bahaya di sekeliling mereka. Dalam budaya yang menganggap kebutaan sebagai akibat daripada ilmu sihir, Genevieve berasa putus asa dan berseru kepada Tuhan untuk meminta pertolongan.

Kemudian seorang lelaki dari kampung Genevieve memberitahu dia tentang Kapal Hospital Belas Kasihan (Mercy Ships), sebuah pelayanan yang menyediakan pembedahan besar untuk memuliakan contoh yang diberikan Yesus, yakni membawa harapan dan penyembuhan kepada orang miskin. Walaupun Genevieve tidak pasti sama ada mereka dapat membantu, dia pergi menemui mereka. Apabila anak-anaknya bangun selepas pembedahan, mereka dapat melihat!

Kisah Tuhan selalu memberitahu kita bahawa Yesus datang mendekati mereka yang diselubungi kegelapan dan membawa cahaya-Nya. Nabi Yesaya menyatakan bahawa Tuhan akan menjadi “cahaya bagi bangsa-bangsa” (Yesaya 42:6). Dia akan “mencelikkan mata orang buta” (ayat 7), memulihkan bukan sahaja penglihatan fizikal tetapi juga penglihatan rohani. Selain itu, Dia berjanji untuk “memegang” tangan umat-Nya (ayat 6). Dia memulihkan penglihatan orang buta dan membawa cahaya kepada mereka yang hidup dalam kegelapan.

Jika anda berasa diri ditenggelami oleh kegelapan, berpeganglah teguh pada harapan sambil memeluk janji-janji Bapa kita yang maha pengasih, dan memohon agar cahaya-Nya menerangi hidup anda.