Saya sering bergurau dengan ibu mentua saya tentang kebolehannya bercakap dengan anjing-anjing peliharaannya. Dia selalu memahami dan membalas salakan anjing-anjing itu dengan penuh kasih sayang. Mungkin sekarang dia dan pemilik anjing yang lain akan cuba mengenal pasti bunyi ketawa anjing mereka. Para saintis telah mendapati bahawa kebanyakan haiwan termasuk anjing, lembu, musang, anjing laut dan burung parkit, semuanya mempunyai “isyarat vokal”—atau dikenali sebagai bunyi ketawa. Dengan mengenal pasti bunyi ini, manusia dapat membezakan tingkah laku haiwan daripada apa yang mungkin kelihatan seperti pergaduhan menurut pemerhatian manusia.

Tindakan haiwan yang menunjukkan ketawa dan kegembiraan memberi kita gambaran yang menarik tentang rupa ciptaan lain yang memuji Tuhan dalam cara yang tersendiri. Ketika Raja Daud memandang ke arah sekelilingnya, nampaknya“segala bukit kecil di sekitar bergembira” dan padang rumput serta lembah “bersorak riang” (Mazmur 65:12-13). Daud tahu Tuhan menjaga dan memperkayakan tanah tersebut, serta membekalkan keindahan dan makanan.

Walaupun persekitaran fizikal kita tidak “menyanyi” secara literal, ia tetap memberi kesaksian tentang karya Tuhan dalam ciptaan-Nya dan mengajak kita memuji Dia dengan suara kita. Semoga kita—sebagai sebahagian daripada seluruh bumi—dipenuhi dengan kekaguman akan keajaiban-Nya dan menjawab Dia dengan “kegembiraan” (ayat 8). Kita percaya bahawa Dia akan mendengar dan memahami nyanyian segala ciptaan-Nya.