Nora menyertai himpunan mogok secara aman untuk menegakkan keadilan. Seperti yang dirancang, mogok itu diadakan secara senyap. Semua penunjuk perasaan berjalan dalam suasana yang senyap melalui kawasan pusat bandar.

Kemudian dua buah bas berhenti. Sekumpulan pengacau telah tiba dari luar bandar. Tidak lama kemudian tercetusnya rusuhan. Dengan perasaan patah hati, Nora meninggalkan tempat tersebut. Nampaknya niat baik mereka tidak membuahkan hasil.

Apabila rasul Paulus mengunjungi bait Allah di Yerusalem, orang yang menentang Paulus telah melihatnya di sana. Mereka berasal “dari Asia” (Kisah Para Rasul 21:27) dan memandang Yesus sebagai ancaman kepada cara hidup mereka. Mereka menyebarkan dusta dan khabar angin tentang Paulus, maka dalam sekelip mata timbulnya kekacauan (ayat 28-29). Sekumpulan orang telah menyeret Paulus ke luar bait Allah dan memukulnya. Askar-askar juga bergegas menangkapnya.

Semasa dia ditangkap, Paulus meminta kebenaran daripada komander Rom untuk bercakap kepada orang ramai (ayat 37-38). Apabila keizinan diberikan, dia bercakap kepada orang ramai dalam bahasa mereka sendiri. Hal ini mengejutkan mereka dan menarik perhatian mereka (ayat 40). Dengan cara ini, Paulus mengubah sebuah rusuhan kepada suatu peluang untuk berkongsi kisahnya yang diselamatkan daripada agama yang mati (22:2-21).

Sesetengah orang suka keganasan dan perpecahan. Namun kita jangan putus asa. Mereka tidak akan menang. Tuhan mencari orang beriman yang berani untuk berkongsi cahaya dan kedamaian-Nya dengan dunia kita yang terdesak ini. Apa yang kelihatan seperti krisis mungkin menjadi peluang untuk menunjukkan kasih Tuhan kepada seseorang.