Seth menelan semua ubat yang ditemuinya di dalam kabinet ubat. Dia dibesarkan dalam keluarga yang penuh dengan kehancuran dan kucar-kacir, oleh itu hidupnya huru-hara. Ibunya kerap didera oleh bapanya, sebelum akhirnya bapanya bunuh diri. Kini Seth juga mahu mengakhiri hidupnya. Namun, satu persoalan terlintas dalam fikirannya, Ke manakah saya akan pergi selepas saya mati? Dengan rahmat Tuhan, Seth tidak mati pada hari tersebut. Kemudian dia mempelajari Alkitab dengan seorang kawan, dan lama-kelamaan dia menerima Yesus sebagai Penyelamatnya. Sebahagian alasan yang telah menarik Seth untuk percaya kepada Tuhan adalah kerana dia menyaksikan keindahan dan keteraturan dalam penciptaan. Dia berkata, “Saya … melihat perkara-perkara yang begitu indah, pasti ada Pencipta di belakang segala ini.”
Dalam Kejadian 1, kita membaca tentang Tuhan yang menciptakan segala sesuatu. Walaupun “bumi tidak berbentuk dan kosong” (ayat 2), Dia membuat keadaan bumi yang kucar-kacir menjadi teratur. Dia “memisahkan cahaya itu daripada kegelapan” (ayat 4), mencipta tanah di tengah-tengah lautan (ayat 10), dan mencipta tumbuh-tumbuhan dan makhluk mengikut “jenis” masing-masing (ayat 11-12, 21, 24-25). Tuhan yang “membentuk bumi dan menjadikannya dan yang menegakkannya” (Yesaya 45:18, TB) Seperti yang diperhatikan oleh Seth, Tuhan terus bekerja untuk memberikan sejahtera dan keteraturan dalam kehidupan orang yang menyerahkan hidup mereka kepada Kristus.
Kehidupan kita mungkin boleh menjadi kucar-kacir dan mencabar. Puji Tuhan, “sebab Allah tidak menghendaki kekacauan, tetapi damai sejahtera” (1 Korintus 14:33, TB). Marilah kita berseru kepada-Nya pada hari ini dan memohon Dia menolong kita menikmati kesejahteraan dan keteraturan yang hanya mampu diberikan-Nya.