Selepas menanam beberapa biji benih di belakang rumah, saya menunggu untuk melihat hasilnya. Saya pernah membaca bahawa benih akan bercambah dalam tempoh sepuluh hingga empat belas hari, jadi saya sering memeriksa semasa saya menyiram tanah tersebut. Tidak lama kemudian saya melihat beberapa helai daun hijau bercambah dari tanah. Tetapi semangat saya terus hilang apabila suami saya memberitahu saya bahawa itu ialah lalang. Dia menyuruh saya untuk cepat-cepat mencabutnya supaya lalang tidak menghalang pertumbuhan biji benih yang saya telah tanam.
Yesus juga memberitahu kita tentang kepentingan menangani perasaan bimbang yang boleh menghalang pertumbuhan rohani kita. Dia menjelaskan sebahagian perumpamaan-Nya dengan cara ini: apabila seorang penyemai pergi menabur benihnya, “Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya” (Matius 13:7). Hal yang sama berlaku ke atas tumbuh-tumbuhan apabila terdapat duri atau lalang di sekitarnya—pertumbuhannya terbantut (ayat 22). Perasaan bimbang terhadap banyak hal juga pasti akan membantutkan pertumbuhan rohani kita. Membaca Kitab Suci dan berdoa merupakan cara yang penting untuk pertumbuhan iman kita, tetapi saya perlu berhati-hati dengan duri kebimbangan. Kebimbangan akan menghalang firman yang telah ditanam ke dalam hati saya, mengalihkan fokus saya untuk selalu takut terhadap perkara buruk yang mungkin akan menimpa saya.
Buah Roh, yang tercatat dalam Kitab Suci, termasuklah kasih, sukacita dan damai sejahtera (Galatia 5:22). Namun, bagi kita membuahkan hasil tersebut dengan pertolongan Tuhan, kita perlu mencabut sebarang keraguan atau kebimbangan yang mengganggu kita dan mengalihkan fokus kita daripada Tuhan.