Para pekerja penyelamat telah bekerjasama untuk membantu tiga orang lelaki yang terkandas di sebuah pulau di Micronesia. Kerjasama berpasukan amat diperlukan kerana masa itu pandemik virus yang merebak telah menyekat hubungan sosial antara satu sama lain. Juruterbang yang pertama sekali melihat dua orang lelaki tersebut menghantar isyarat radio kepada kapal Tentera Laut Australia yang berdekatan. Kapal tersebut kemudiannya menghantar dua buah helikopter yang membekalkan makanan, air dan rawatan perubatan. Kemudian, Pengawal Pantai Amerika Syarikat tiba untuk memeriksa tiga orang lelaki tersebut dan menyediakan sebuah radio untuk mereka. Akhirnya, sebuah bot peronda Mikronesia telah membawa mereka ke destinasi mereka.

Banyak perkara yang boleh kita capai apabila kita bekerjasama. Orang Kristian di Filipi sama-sama berusaha untuk membantu rasul Paulus. Lidia dan keluarganya menyambut Paulus ke rumah mereka (Kisah Para Rasul 16:13-15). Klemen, Euodia dan Sintikhe (yang tidak serasi antara satu sama lain) bekerjasama dengan rasul Paulus untuk menyebarkan berita baik (Filipi 4:2-3). Kemudian, apabila Paulus dipenjarakan di Rom, gereja mengumpulkan barang-barang penting yang diperlukan dan menyampaikannya kepada Paulus melalui Epafroditus (ayat 14-18). Perkara yang paling penting yang dilakukan oleh jemaah di Filipi ialah berdoa sepanjang pelayanan Paulus (1:19).

Teladan daripada orang-orang beriman yang melayani bersama dalam gereja kuno ini dapat memberi inspirasi kepada kita pada hari ini. Apabila orang percaya bekerjasama untuk berdoa dan melayani orang lain melalui pimpinan dan kekuatan Tuhan, kita boleh mencapai lebih daripada apa yang mampu kita lakukan sendiri. Seseorang pernah berkata, “Berseorangan, kita ibarat titisan air; bermuafakat, kita ibarat lautan.”