Kawan saya Raleigh tidak lama lagi akan menyambut hari jadinya yang kelapan puluh lima! Sejak perbualan pertama saya dengannya lebih daripada tiga puluh lima tahun yang lalu, dia telah menjadi sumber inspirasi saya. Apabila dia menyatakan bahawa sejak dia bersara, dia telah menyiapkan manuskrip sebuah buku dan memulakan satu lagi pelayanan—saya berasa kagum tetapi tidak terkejut.

Pada usia lapan puluh lima tahun, Kaleb yang diceritakan dalam Alkitab juga tidak bersedia untuk berhenti. Kesetiaan dan pengabdiannya kepada Tuhan telah menolong dia melalui kehidupan selama berdekad-dekad di padang gurun dan peperangan untuk mendapatkan warisan yang dijanjikan Tuhan kepada orang Israel. Dia berkata, “Hari ini aku masih sama kuat seperti ketika Musa mengutus aku. Kekuatanku sekarang masih seperti kekuatanku pada saat itu, baik untuk berperang mahupun untuk kegiatan lainnya” (Yosua 14:11). Dengan cara apakah dia akan menakluki? Kaleb mengisytiharkan bahawa dengan “TUHAN menyertai aku, sehingga aku dapat mengusir mereka seperti yang difirmankan TUHAN” (ayat 12).

Tanpa mengira usia, tahap kehidupan atau keadaan, Tuhan akan menolong semua orang yang sepenuh hati percaya kepada-Nya. Dalam Yesus, Juruselamat kita yang menolong kita, Tuhan telah menyatakan diri-Nya kepada kita. Kitab-kitab Injil mengilhami kita untuk percaya kepada Tuhan melalui apa yang kita lihat dalam Kristus. Yesus menunjukkan kasih dan belas kasihan Tuhan kepada semua orang yang mengharapkan pertolongan-Nya. Seperti yang diakui oleh penulis Ibrani, “Tuhan Penolongku; Aku tidak akan takut” (Ibrani 13:6). Muda atau tua, lemah atau kuat, terikat atau bebas, berlari atau tempang—apakah yang menghalang kita meminta pertolongan-Nya hari ini?