Ketika anak lelaki saya yang kini sudah dewasa, Xavier, masih belajar di tadika, dia membuka tangannya dengan selebar-lebarnya dan berkata, “Aku sayang ibu sebanyak ini.” Saya juga membuka tangan saya yang lebih panjang dengan selebar-lebarnya dan berkata, “Nak, ibu sayang kamu sebanyak ini.” Sambil meletakkan kedua-dua penumbuknya di sisi pinggulnya, Xavier berkata, “Aku sayang ibu terlebih dahulu.” Saya menggelengkan kepala. “Ibu sayang kamu ketika Tuhan pertama kali membentuk kamu dalam rahim ibu.” Mata Xavier terbeliak. “Ibu menang.” “Kita berdua menang,” kata saya, “kerana Yesus sayang pada kita berdua terlebih dahulu.”
Kini, semasa Xavier mempersiapkan diri untuk menyambut kelahiran anak pertamanya, saya berdoa bahawa dia akan menikmati kasih sayang bersama anaknya sambil mereka membuat kenangan manis. Tetapi ketika saya mempersiapkan diri untuk menjadi seorang nenek, saya kagum apabila menyedari bahawa betapa saya menyayangi cucu saya sejak Xavier dan isterinya memberitahu kami bahawa mereka bakal menimang cahaya mata.
Rasul Yohanes menegaskan bahawa kasih Yesus kepada kita telah memampukan kita mengasihi Dia dan orang lain (1 Yohanes 4:19). Kasih Tuhan telah membawa kita menjalinkan hubungan peribadi yang mendalam dengan Dia (ayat 15-17). Apabila kita menyedari betapa dalamnya kasih Tuhan kepada kita (ayat 19), kita akan semakin mengasihi Tuhan dan sesama (ayat 20). Yesus bukan sahaja memampukan kita mengasihi, tetapi Dia juga memerintah kita mengasihi orang lain: “Kristus telah memberi kita perintah ini: Sesiapa yang mengasihi Allah mesti mengasihi saudaranya juga” (ayat 21). Apabila kita bercakap tentang kasih, Tuhan selalu “menang”. Tidak kira betapa gigihnya kita mengasihi Tuhan, tiada apa yang dapat melebihi kasih Tuhan terhadap kita!