Pada awal tahun 1800-an, Elizabeth Fry berasa terkejut dengan keadaan di dalam sebuah penjara wanita di London. Dalam penjara itu, banduan wanita dan anak-anak mereka bersesak-sesak dan disuruh tidur di atas lantai batu yang sejuk. Walaupun mereka tidak diberikan tilam dan selimut, mereka dapat minum gin (sejenis minuman keras) melalui sebatang paip. Selama bertahun-tahun, Elizabeth melawat penjara tersebut dan membawa perubahan dengan menyediakan pakaian, membuka sebuah sekolah dan mengajar Alkitab. Namun, pengaruh Elizabeth yang terbesar adalah kehadirannya yang penuh kasih sayang dalam kalangan banduan dan mesejnya yang jelas serta penuh harapan kepada mereka.
Elizabeth menyahut seruan Yesus untuk melayani orang yang ada keperluan melalui perbuatannya. Sebagai contoh, semasa di Bukit Zaitun, Kristus menceritakan beberapa kisah tentang akhir zaman, termasuklah “mereka yang benar akan menikmati hidup kekal” (Matius 25:46). Dalam kisah ini, Raja memberitahu orang yang benar bahawa mereka telah memberi Dia minum, menerima Dia masuk ke rumah, dan melawat Dia di penjara (ayat 35-36). Mereka tidak ingat bahawa mereka pernah berbuat demikian, maka Raja menjawab: “Apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku” (ayat 40).
Betapa mengagumkan apabila kita melayani orang lain dengan pertolongan Roh Kudus, kita melayani Yesus! Kita boleh mengikut teladan Elizabeth Fry, kita juga boleh melayani dari rumah, seperti melalui doa syafaat atau menghantar mesej dorongan kepada orang lain. Ketika kita membantu orang lain dengan kemampuan dan kurnia rohani kita, kita mengasihi dan melayani Yesus.