Pada 29 Jun 1955, Amerika Syarikat telah mengumumkan rancangannya untuk melancarkan satelit ke angkasa lepas. Tidak lama kemudian, pihak Kesatuan Soviet juga mengisytiharkan rancangan yang sama. Perlumbaan angkasa telah bermula. Pihak Soviet telah melancarkan satelit pertama (Sputnik) dan menghantar Yuri Gagarin, iaitu manusia pertama ke angkasa lepas apabila dia berjaya mengelilingi sekali planet kita. Perlumbaan ini berterusan sehingga 20 Julai 1969, apabila Neil Armstrong dari Amerika Syarikat berjaya menjejakkan kaki ke bulan dan mengakhiri persaingan ini. Sejak itu, jalinan kerjasama bermula sehinggalah Stesen Angkasa Antarabangsa ditubuhkan.

Kadangkala persaingan adalah baik. Ia membawa kita mencapai perkara-perkara yang tidak pernah kita fikirkan. Walau bagaimanapun, pada masa yang lain, persaingan boleh menghancurkan. Inilah masalah yang dihadapi oleh gereja di Korintus apabila beberapa kumpulan yang berbeza telah mengikuti golongan pemimpin gereja tertentu sebagai harapan mereka. Paulus berusaha untuk menangani masalah ini ketika dia menulis, “Yang menyemaikan benih dan yang menyiram tidak penting. Hanya Allah yang penting, kerana Dialah yang membolehkan tanaman itu tumbuh” (1 Korintus 3:7), dengan menyimpulkan bahawa “Kami sama-sama pekerja” (ayat 9).

Rakan sekerja bukan pesaing. Kita bukan sahaja saling melayani, tetapi melayani bersama dengan Tuhan! Melalui kuasa dan pimpinan-Nya, kita boleh melayani bersama-sama seperti rakan sekerja untuk menyebarkan berita baik tentang Yesus, demi kemuliaan-Nya dan bukan untuk kita.