Semasa saya baru percaya kepada Tuhan, saya sangka pengalaman “atas gunung” ialah tempat yang saya akan bertemu dengan Yesus. Tetapi cita-cita begitu cuma sementara bahkan tidak membawa pertumbuhan iman. Penulis Lina Abu Jamra berkata bahawa biasanya kita bertumbuh dan bertemu dengan Tuhan di kawasan “gurun”. Dalam pengajian Alkitabnya, Through The Desert (Melalui Gurun), dia menulis, “Tuhan bertujuan menggunakan ketandusan hidup kita untuk menguatkan kita”. Dia menambah, “Kebaikan Tuhan bukan dibuktikan dengan ketiadaan kesusahan, tetapi dialami pada saat kita berada dalam kesusahan.”
Seperti berada di tempat tandus, yang penuh dengan kesedihan, kepedihan dan kehilangan, Tuhan menolong kita bertumbuh dalam iman dan menjadi lebih dekat kepada-Nya. Seperti yang telah dipelajari oleh Lina, “Kewujudan gurun bukanlah bermakna Tuhan telah melakukan “kesilapan”, tetapi ini adalah sebahagian proses pertumbuhan kita.”
Tuhan telah memimpin ramai watak dalam Perjanjian Lama seperti Abraham, Ishak dan Yakub ke kawasan gurun dan mereka mempunyai pengalaman di kawasan tandus. Di gurun, Tuhan mempersiapkan hati Musa dan memanggil dia membawa umat-Nya, Israel, keluar dari Mesir, tempat yang mereka dijadikan hamba (Keluaran 3:1-2, 9-10). Di gurun juga Tuhan “memerhatikan perjalanan [orang Israel]” selama empat puluh tahun dengan pertolongan dan pimpinan-Nya (Ulangan 2:7).
Tuhan bersama dengan Musa dan umat Israel dalam setiap perjalanan mereka melalui gurun, Dia juga bersama kita. Di gurun, kita belajar untuk bergantung pada Tuhan. Di sana, Dia bertemu dengan kita, dan di sana juga kita bertumbuh.