Tuhan mencipta burung hantu kelabu sebagai pakar penyamar. Bulunya yang berwarna perak kelabu mempunyai corak-corak warna yang membolehkannya menyamar seperti kulit pokok kayu semasa bertenggek atas pokok. Apabila burung hantu itu tidak mahu dilihat, ia akan bersembunyi, menyamar dengan bulu-bulunya yang boleh berubah warna mengikut keadaan persekitarannya.
Umat Tuhan juga sering seperti burung hantu kelabu. Kita secara sengaja atau tidak sengaja cenderung melakukan hal-hal duniawi sehingga orang lain sama sekali tidak mengetahui bahawa kita ini rupa-rupanya ialah orang yang percaya kepada Kristus. Yesus berdoa untuk para pengikut-Nya,mereka yang telah diamanahkan Bapa kepada-Nya “di dunia ini”, orang yang “taat” akan firman-Nya (Yohanes 17:6). Yesus meminta Bapa melindungi dan menguatkan mereka untuk hidup dalam kekudusan dan mengalami sukacita yang berterusan selepas Dia meninggalkan mereka (ayat 7-13). Dia berkata, “Aku tidak memohon-Mu untuk mengeluarkan mereka dari dunia ini. Aku memohon semoga Engkau melindungi mereka daripada si durjana” (ayat 15). Yesus tahu para pengikut-Nya perlu menjadi kudus dan menjauhi hal-hal duniawi supaya mereka hidup sesuai dengan tujuan yang telah ditentukan oleh Tuhan (ayat 16-19).
Roh Kudus menolong kita melawan godaan yang membuat kita menjadi pakar penyamar untuk menyesuaikan diri dengan dunia ini. Apabila kita berserah kepada-Nya setiap hari, kita akan menjadi serupa dengan Yesus. Jika kita hidup dalam kesatuan dan saling mengasihi, Dia akan membawa semua orang kepada Kristus dalam segala kemuliaan-Nya.