Pada tahun 1960, Otto Preminger menimbulkan kontroversi dengan filemnya Exodus (Keluaran). Berdasarkan novel Leon Uris, filem ini merupakan cerita fiksyen tentang pelarian Yahudi yang berhijrah ke Palestin selepas Perang Dunia II. Filem ini diakhiri dengan mayat seorang gadis muda yang berbangsa Eropah-Yahudi dan seorang lelaki Arab, kedua-duanya merupakan mangsa pembunuhan, dikebumikan di kubur yang sama, tempat yang tidak lama selepas itu menjadi tanah Israel.
Preminger membiarkan kita membuat kesimpulan sendiri. Adakah ini metafora untuk berputus asa, mimpi yang terkubur selama-lamanya? Atau adakah pengakhiran ini ialah simbol harapan, ketika dua orang yang mempunyai sejarah kebencian dan permusuhan menjadi bersatu—dalam kematian dan ketika masih hidup?
Mungkin anak-anak Korah, iaitu penulis Mazmur 87, akan mengambil pandangan mengenai bahagian terakhir adegan ini. Mereka mengharapkan keamanan yang masih kita tunggu. Mengenai Yerusalem, mereka menulis, “Pelbagai kemuliaan disebutkan tentangmu, Wahai kota Allah” (ayat 3). Mereka menyanyi ketika bangsa-bangsa—semuanya mempunyai sejarah berperang melawan orang Yahudi—akan berkumpul untuk mengakui Tuhan yang benar: Rahab (Mesir), Babel, Filistea, Tirus, Kush (ayat 4). Semua bangsa ditarik ke Yerusalem, dan kepada Tuhan.
Kesimpulan mazmur ini adalah perayaan. Orang-orang di Yerusalem akan bernyanyi, “Semua sumber bahagiaku dalammu” (ayat 7). Mereka bernyanyi tentang siapa? Tentang ‘Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal’ (Yohanes 4:14). Yesus adalah satu-satunya yang boleh membawa keamanan dan perpaduan yang berkekalan.