Pada musim panas di Carolina, Amerika Syarikat, George sedang bekerja di tapak pembinaan di bawah terik matahari. Waktu itulah seseorang yang tinggal berhampiran pergi ke tempat kerjanya. Jelasnya orang itu sangat marah, malah dia mulai menyumpah dan mengkritik semua mengenai projek pembinaan tersebut dan cara projek itu dilaksanakan. George tidak memberi sebarang respons terhadap segala kutukan itu, sehinggalah orang itu berhenti berteriak. Kemudian George membalas dengan lembut, “Saya rasa encik menghadapi hari yang serba susah, bukan?” Akhirnya, muka orang yang marah itu menjadi lembut, kepalanya tunduk dan berkata, “Saya minta maaf atas kata-kata saya.” Kebaikan George telah memadamkan kemarahan jiran ini.
Sering kali timbulnya saat apabila kita ingin melawan, malah membalas keganasan dengan keganasan dan makian dengan makian. Namun sikap yang ditunjukkan oleh George ialah kebaikan yang ditunjukkan oleh Yesus apabila Dia menanggung segala akibat dosa kita: “Apabila Dia dicela, Dia tidak mencela kembali. Apabila Dia menderita, Dia tidak mengugut, tetapi menyerahkan diri-Nya kepada Allah yang menghakimi dengan adil” (1 Petrus 2:23).
Setiap kita pasti akan mengalami saat yang kita disalah anggap, dipersalahkan, atau diserang. Kita mungkin ingin membalas dengan segala kepahitan, namun Yesus memanggil kita supaya berbuat baik, mencari kedamaian dan bertimbang rasa. Sebagaimana Dia memampukan kita bersikap lembut hari ini, mungkin Tuhan juga boleh menggunakan kita untuk memberkati seseorang yang sedang melalui hari yang teruk.