Saya membuka kotak memori dan mengeluarkan sebiji pin lapel perak, saiz dan bentuknya sama dengan kaki bayi saya yang berumur sepuluh minggu. Sambil mengamati sepuluh jari kecil itu, saya teringat akan keguguran anak pertama ini, dan orang lain yang berkata bahawa saya “bernasib baik”, kerana keguguran yang berlaku pada awal kehamilan “tidaklah begitu teruk”. Saya berasa sungguh sedih, kerana saya tahu kaki bayi saya begitu nyata seperti jantungnya yang pernah berdenyut di dalam rahim saya. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana Dia membebaskan saya daripada kemurungan dan menggunakan kisah saya untuk menenangkan orang yang juga berduka setelah kehilangan anak. Dua dekad lebih selepas keguguran saya, suami saya dan saya menamakan bayi kami yang meninggal dengan nama Kai, yang bererti “bersukacita” dalam bahasa-bahasa lain. Walaupun saya masih bersedih akibat kehilangan itu, saya bersyukur kepada Tuhan kerana Dia menyembuhkan hati saya dan menggunakan kisah saya untuk membantu orang lain.
Penulis Mazmur 107 bersukacita dalam karakter Tuhan dan bernyanyi: “Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana kebaikan-Nya; kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya” (ayat 1). Dia menggesa “mereka yang ditebus oleh TUHAN” mengulangi kata-kata ini (ayat 2), untuk “bersyukur kepada TUHAN kerana kasih setia-Nya dan kerana hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia” (ayat 8). Dia memberi harapan dengan berjanji bahawa hanya Tuhan yang boleh “memuaskan jiwa yang penuh kerinduan, dan mengenyangkan jiwa yang lapar dengan kebaikan” (ayat 9).
Tiada sesiapa boleh terlepas daripada kedukaan atau kesedihan, bahkan mereka yang sudah ditebus oleh pengorbanan Kristus di kayu salib. Namun, kita boleh merasakan belas kasihan Tuhan apabila Dia menggunakan kisah kita untuk menarik orang lain kepada karya penebusan-Nya yang penuh kasih.