Terdapat empat belas bilion batang pokok di negeri Michigan, Amerika Syarikat dan menurut piawaian, kebanyakannya ialah pokok yang agak biasa. Namun, negeri ini menganjurkan acara “Pencarian Pokok Besar” tahunan, sebuah pertandingan untuk mengenal pasti pokok-pokok tertua dan terbesar, yang boleh disanjung sebagai mercu tanda hidup. Pertandingan itu menaikkan taraf pokok biasa ke tahap yang lain: mana-mana hutan pun ada sahaja pokok yang boleh menjadi pemenang anugerah, hanya tunggu untuk dikesan.
Namun Tuhan selalu melihat perkara yang biasa, bukan seperti kebanyakan orang. Dia mengambil berat terhadap apa dan siapa yang diabaikan oleh orang lain. Tuhan mengutus orang yang biasa, yang bernama Amos ke Israel semasa pemerintahan Raja Yerobeam. Amos menasihati bangsanya untuk berpaling daripada kejahatan dan mencari keadilan, tetapi dia diasingkan dan disuruh diam. “Wahai pelihat, pergilah!” kata mereka dengan cemuhan. “Nyahlah ke Tanah Yehuda … dan bernubuatlah di sana” (Amos 7:12). Amos menjawab, “Aku ini bukan nabi, dan juga bukan seorang anak nabi. Aku penternak dan pemelihara pokok ara. Namun demikian, Tuhan berfirman kepadaku, ‘Pergilah bernubuatlah kepada umat-Ku Israel’ ” (ayat 14-15).
Tuhan mengetahui dan memerhatikan Amos ketika dia hanya seorang gembala biasa, menjaga kawanan dan pokok. Beratus-ratus tahun kemudian, Yesus memerhati dan memanggil Natanael (Yohanes 1:48) dan Zakheus (Lukas 19:4-5) berhampiran pokok ara. Kita mungkin merasakan bahawa tiada orang mempedulikan kita, Tuhan melihat kita, mengasihi kita, dan menggunakan kita untuk tujuan-Nya.