Mungkin anda pernah melihat atau mendengar beberapa variasi pepatah ini: “Jika anda ingin berjalan pantas, berjalanlah sendiri. Tetapi jika anda ingin berjalan jauh, berjalanlah bersama-sama.” Inilah satu pemikiran yang indah, bukan? Tetapi adakah terdapat penyelidikan yang kukuh untuk meyakinkan kita bahawa kata-kata ini bukan sahaja indah, tetapi benar?
Ya! Sebenarnya, satu kajian oleh penyelidik British dan Amerika menunjukkan bahawa orang menganggarkan saiz gunung jauh lebih kecil jika mereka berdiri dengan orang lain berbanding ketika berdiri sendiri. Dalam erti kata lain, “sokongan sosial” amat penting—sehingga saiz gunung kelihatan kecil dalam fikiran kita.
Daud mendapati dorongan seperti itu adalah indah dan benar dalam persahabatannya dengan Yonatan. Raja Saul yang cemburu dan marah seperti gunung yang tidak dapat diatasi dalam kisah Daud menyebabkan dia bimbang akan nyawanya sendiri (rujuk 1 Samuel 19:9-18). Tanpa sokongan daripada kawan baiknya, yakni Yonatan, kisahnya mungkin berbeza secara drastik. Tetapi Yonatan yang “hiba mengenangkan Daud yang dihina ayahnya” (20:34), tetap menyokong rakannya. “Mengapakah dia harus dibunuh?” katanya (ayat 32). Persahabatan mereka yang diberkati oleh Tuhan menguatkan Daud, malah membolehkannya menjadi raja Israel menurut kehendak Tuhan.
Persahabatan kita penting. Apabila Tuhan menjadi pusat persahabatan kita, kita boleh saling mendorong untuk melakukan perkara yang lebih besar daripada apa yang kita bayangkan.