Apabila ibu saya menghampiri hari-hari terakhirnya, dia tinggal di hospis. Saya terharu oleh kebaikan hati seorang penjaga di situ. Selepas perlahan-lahan mengangkat ibu saya yang lemah dari kerusinya dan menyelimutkannya di atas katil, penjaga itu membelai kepala ibu saya sambil membongkok sedikit dan berkata, “Makcik sangat comel.” Kemudian dia bertanyakan khabar saya. Kebaikan pembantu itu masih membuatkan saya terharu sampai menangis hinggalah hari ini.
Penjaga itu hanya menunjukkan perbuatan baik yang sederhana, tetapi itulah yang saya perlukan pada saat itu. Kebaikan itu membantu saya menghadapi situasi, mengetahui bahawa dalam mata wanita ini, ibu saya bukan hanya seorang pesakit. Dia mengambil berat dan melihat ibu saya sebagai seorang yang sangat berharga.
Ketika Naomi dan Rut kehilangan suami mereka, Boas menunjukkan kebaikan kepada Rut dengan membenarkan dia mengutip bulir-bulir yang ditinggalkan oleh para penuai. Dia juga mengarahkan pekerja lelaki agar tidak mengganggunya (Rut 2:8-9). Kebaikan hatinya terdorong oleh penjagaan Rut terhadap Naomi: “Sudah dilaporkan kepadaku dengan lengkap segala sesuatu yang engkau lakukan demi mertuamu susulan kematian suamimu” (ayat 11). Dia tidak menganggapnya sebagai orang asing atau janda, tetapi sebagai seorang wanita yang memerlukan pertolongan.
Tuhan inginkan kita “bersifat belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar” (Kolose 3:12). Dengan pertolongan Tuhan, perbuatan baik kita yang sederhana boleh menggembirakan hati, membawa harapan, dan membangkitkan kebaikan orang lain.