Bergerak mengikut tempo kebahagiaan. Ungkapan ini terlintas dalam fikiran saya ketika saya berdoa memikirkan tahun hadapan pada suatu pagi, dan nampaknya sesuai. Saya cenderung untuk bekerja terlalu kuat, akibatnya saya semakin kehilangan kebahagiaan. Oleh itu, dengan mengikut bimbingan slogan tersebut, saya berjanji untuk bekerja pada kadar yang menyeronokkan pada tahun akan datang, dengan meluangkan masa untuk bersama rakan-rakan dan menyertai aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan.
Rancangan ini berjaya … sehingga bulan Mac! Kemudian saya bekerjasama dengan sebuah universiti untuk menyelia suatu kursus percubaan yang sedang saya bangunkan. Berikutan pendaftaran pelajar dan pengajaran yang harus saya sampaikan, saya bekerja berjam-jam tidak lama selepas itu. Bagaimanakah saya boleh bergerak dengan tempo kebahagiaan sekarang?
Yesus menjanjikan kebahagiaan kepada orang yang percaya kepada-Nya. Dia memberitahu kita bahawa kebahagiaan itu datang asalkan kita tetap dalam kasih-Nya (Yohanes 15:9) dan dengan berdoa membawa keperluan kita kepada-Nya (16:24). “Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu,” kata-Nya (15:11). Kebahagiaan ini datang sebagai hadiah melalui Roh-Nya, yang harus kita ikuti (Galatia 5:22-25). Saya mendapati bahawa saya hanya dapat mengekalkan kebahagiaan semasa tempoh kesibukan saya apabila saya menghabiskan masa yang tenang dalam doa dan berserah keperluan saya kepada Tuhan setiap malam.
Memandangkan kebahagiaan adalah sangat penting, maka memanglah logik ia menjadi keutamaan dalam jadual harian kita. Namun disebabkan kehidupan kita tidak pernah di bawah kawalan kita sepenuhnya, saya bersyukur atas sumber kebahagiaan yang lain, iaitu Roh Tuhan. Bagi saya, bergerak dengan tempo kegembiraan sekarang bermakna bergerak dengan tempo doa, yakni memberi masa untuk menerima kebahagiaan daripada Sang Pemberi Kebahagiaan kita.