Julie dan Liz berkayak di luar pantai California untuk mencari ikan paus kelasa. Ikan paus ini dikenali aktif berhampiran permukaan laut, menjadikannya mudah dikesan. Kedua-dua wanita itu mendapat kejutan dalam hidup mereka apabila seekor paus muncul tepat di bawah kayak mereka. Secara kebetulan seseorang merakam pertemuan mereka, yang menunjukkan mulut besar ikan paus itu kelihatan menganga sehingga dua wanita itu dan kayak mereka kelihatan kecil sekali. Walaupun mereka jatuh ke dalam laut untuk seketika, mereka melarikan diri tanpa cedera.
Pengalaman mereka memberikan perspektif tentang kisah nabi Yunus yang ditelan oleh “ikan besar” (Yunus 1:17). Tuhan telah memerintahkannya untuk pergi menyampaikan pesan-Nya kepada orang Niniwe. Akan tetapi, disebabkan orang Niniwe menolak Tuhan sebelum ini, maka Yunus berpendapat mereka tidak layak mendapat pengampunan-Nya. Jadi dia melarikan diri dan menaiki kapal, bukannya menurut perintah. Tuhan pun menurunkan angin ribut kencang hingga laut bergelora dan dia dicampakkan ke laut.
Tuhan menyediakan cara untuk menyelamatkan Yunus daripada lemas di laut, dan menolong dia menjauhi akibat yang lebih buruk disebabkan tindakannya. Yunus “berseru” kepada Tuhan dan Tuhan mendengar (2:2). Selepas Yunus mengakui kesalahannya dan menyatakan pujian dan pengakuan terhadap kebaikan Tuhan, dia dimuntahkan “ke darat” atas perintah Tuhan (ayat 10).
Dengan rahmat Tuhan, apabila kita mengakui dosa kita dan percaya akan pengorbanan Yesus untuk menebus kita, kita akan terhindar daripada kematian rohani yang sepatutnya kita terima, dan mengalami kehidupan yang baru melalui-Nya.