Jeremy tidak menyedari apa yang dihadapinya apabila dia tiba di universiti untuk kursus selama tiga tahun dan memohon bilik asrama termurah yang ada. “Eeh, teruknya!” apabila dia mengenang waktu itu. “Keadaan bilik dan bilik mandi sangat dahsyat.” Tetapi dia hanya mempunyai sedikit wang dan pilihan yang terhad. “Apa yang boleh saya lakukan,” katanya, “adalah selalu ingat bahawa aku ada rumah yang bagus dan akan pulang dalam tiga tahun. Jadi aku akan tabah dengan pilihan ini dan memanfaatkan masa di sini sepenuhnya.”
Kisah Jeremy mencerminkan cabaran harian hidup kita dalam “khemah duniawi”—tubuh manusia yang akan mati (2 Korintus 5:1), yang sedang menjalani hidup di dunia yang akan berlalu (1 Yohanes 2:17). Justeru kita “merintih kerana terbeban” (2 Korintus 5:4) ketika kita bergelut untuk menghadapi pelbagai kesukaran hidup yang melanda kita.
Apa yang membuat kita terus maju ialah kita memiliki harapan, bahawa suatu hari nanti kita akan mempunyai tubuh yang tidak akan mati dan dibangkitkan daripada kematian—sebuah “kediaman syurgawi” (ayat 4)—dan hidup di dunia yang bebas daripada penderitaan dan kekecewaan (Roma 8:19-22). Harapan ini membolehkan kita memanfaatkan kehidupan sekarang yang telah disediakan oleh Tuhan dengan penuh kasih sayang. Dia juga membantu kita menggunakan sumber dan bakat yang diberikan-Nya kepada kita, supaya kita boleh melayani-Nya dan orang lain. Itulah sebabnya matlamat hidup kita sepatutnya adalah menyenangkan hati Tuhan, “baik ketika masih mendiami tubuh ini mahupun ketika dipisahkan darinya”(2 Korintus 5:9).