Semasa masih seorang mahasiswi, saya mengambil kursus penulisan William Shakespeare selama satu semester. Setiap pelajar di kelas itu diminta untuk membawa buku teks gergasi yang mengandungi semua karya yang pernah ditulis oleh Shakespeare. Buku itu seberat beberapa kilogram, dan masa itu saya harus mengangkatnya selama berjam-jam. Beban yang sedemikian berat itu mengakibatkan belakang saya sakit, bahkan menyebabkan pengikat logam beg buku saya terputus!
Sesetengah hal juga terlalu berat untuk kita pikul. Sebagai contoh, beban emosi akibat luka masa lalu boleh membebankan kita dengan kepahitan dan kebencian. Tetapi Tuhan mahu kita bebas daripada beban emosi dengan mengampuni orang lain dan jika boleh, berdamai dengan mereka (Kolose 3:13). Semakin dalam hati terluka, semakin lama masa yang diperlukan untuk pulih. Tak mengapa. Esau mengambil masa bertahun-tahun untuk memaafkan Yakub kerana adiknya telah merampas haknya sebagai anak sulung dan berkatnya (Kejadian 27:36).
Akhirnya apabila mereka bertemu semula, Esau dengan murah hati memaafkan adiknya, bahkan “memeluk” dia (33:4). Tiada sepatah kata pun perlu diucapkan antara mereka sebelum kedua-duanya bertangis-tangisan. Seiring berlalunya masa, Esau telah melupakan kemarahannya yang sampai pernah terfikir hendak membunuh adiknya (27:41). Untuk sekian lama itu, Yakub berpeluang menyedari betapa dia telah menyakiti hati abangnya. Dia bersikap rendah hati dan hormat sepanjang pertemuan semula itu (33:8-11).
Akhirnya, dua saudara itu mencapai perdamaian dan tidak menuntut apa-apa daripada satu sama lain (33:9, 15). Hanya dengan mengampuni dan diampuni sesama, barulah kita dapat membuang semua beban emosi masa lalu.