Dalam komik klasik Peanuts, rakan Linus menegurnya kerana kepercayaannya terhadap Labu Besar. Sambil berjalan dengan kecewa, Linus berkata, “Tiga perkara yang aku belajar. Jangan berbincang dengan orang lain tentang agama, politik, dan Labu Besar!”
Labu Besar hanya wujud dalam fikiran Linus, tetapi dua topik lain memang nyata, bahkan boleh memecahbelahkan negara, keluarga dan rakan-rakan. Masalah itu berlaku pada zaman Yesus juga. Orang Farisi sangat komited kepada agama dan berusaha untuk mentaati hukum Perjanjian Lama. Orang Herodian lebih berpolitik, namun kedua-dua golongan itu mahu melihat orang Yahudi dibebaskan daripada penindasan Rom. Nampaknya Yesus tidak bersepakat dengan matlamat mereka. Oleh itu, mereka menghampiri Dia dengan soalan berunsur politik: patutkah rakyat membayar cukai kepada Kaisar (Markus 12:14–15)? Jika Yesus berkata ya, orang ramai akan memarahi-Nya. Jika Dia berkata tidak, orang Rom boleh menangkap-Nya atas tuduhan pemberontakan.
Maka Yesus meminta sekeping wang dinar. “Gambar dan nama siapakah ini?” Dia bertanya (ayat 16). Semua orang tahu itu ialah gambar Kaisar. Kata-kata Yesus bergema sampai hari ini: “Berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah” (ayat 17). Yesus dengan jelas mengetahui keutamaan-Nya, maka Dia mengelakkan perangkap mereka.
Yesus datang untuk melakukan kehendak Bapa-Nya. Dengan mengikut bimbingan-Nya, kita boleh mencari Tuhan dan kerajaan-Nya melebihi segala-galanya. Tumpuan kita juga boleh dialihkan daripada semua perselisihan dan mengarah kepada Dia Yang Esa dan Benar.