Semasa anak lelaki saya Xavier masih kecil, saya dan dia membaca sebuah cerita fiksyen kanak-kanak tentang seorang budak lelaki yang memberontak terhadap gurunya dengan menggunakan nama rekaan untuk merujuk kepada sebatang pen. Pelajar itu meyakinkan rakan-rakan darjah limanya untuk menggunakan nama baharu yang diciptanya untuk pen. Berita tentang kata gantian budak itu tersebar ke seluruh bandar. Akhirnya, penduduk di seluruh negara mengubah cara mereka merujuk kepada pen, hanya kerana orang lain telah menerima realiti yang diada-adakan oleh seorang budak lelaki sebagai kebenaran sejagat.
Sepanjang sejarah, manusia yang berdosa telah menerima pelbagai versi kebenaran yang berubah-ubah atau ”kebenaran” yang sesuai dengan keinginan mereka sendiri. Walau bagaimanapun, Alkitab menunjukkan satu kebenaran, satu Tuhan yang benar, dan satu jalan yang menuju ke penyelamatan—Mesias—yang melalui-Nya, “kemuliaan TUHAN akan dinyatakan” (Yesaya 40:5). Nabi Yesaya dengan pastinya memberitahu bahawa manusia, seperti semua makhluk ciptaan, adalah bersifat fana, mudah salah dan tidak boleh diharapkan (ayat 6-7). Dia berkata, “Rumput layu dan bunga luruh, tetapi firman Allah kita kekal selama-lamanya” (ayat 8).
Nubuat Yesaya tentang Mesias yang akan datang menyediakan asas yang dapat diandalkan, tempat perlindungan yang selamat, dan harapan yang terjamin. Kita boleh mempercayai firman Tuhan kerana Yesuslah Firman itu (Yohanes 1:1). Yesuslah Kebenaran yang tidak akan berubah.