Ini hanyalah sebilah pisau lipat lama, haus dan kusam dimamah usia. Mata pisau itu sudah sumbing dan pemegangnya bercalar, tetapi ia salah satu harta berharga milik ayah saya, disimpan dalam almari lacinya sehingga dia memberikannya kepada saya. “Inilah salah satu benda yang dimiliki oleh datukmu” katanya kepada saya. Datuk saya meninggal dunia semasa ayah saya masih kecil, dan ayah menghargai pisau itu kerana inilah hartanya.
Alkitab memberitahu kita bahawa Tuhan juga mempunyai harta yang unik, sesuatu yang mungkin kita tidak jangka. Dalam kitab Wahyu, kita melihat takhta di syurga yang dikelilingi oleh “empat makhluk” dan “dua puluh empat orang tua-tua,” sujud menyembah Yesus (fasal 4-5). “Masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah batil emas berisi setanggi, iaitu segala doa orang salih.” (5:8). Pada zaman dahulu, setanggi (atau kemenyan) ialah sesuatu yang berharga, digunakan oleh raja-raja (fikirkan emas, dupa, dan mir yang dihadiahkan kepada Yesus dalam Matius 2:11). Kadangkala doa-doa kita mungkin kelihatan tidak bererti bagi kita, tetapi Tuhan mahu doa itu diangkat sentiasa di hadapan-Nya.
Wahyu 5 menekankan kelayakan Yesus kerana kehidupan-Nya yang tidak berdosa dan kasih-Nya yang sanggup berkorban untuk kita. Kelayakan Yesus menunjukkan kepada kita sebabnya Tuhan menghargai doa kita kerana kita berharga bagi-Nya. Oleh sebab Dia mengasihi kita dengan kasih yang tidak terhingga, tidak ternilai, dan penuh belas kasihan, Dia merindukan agar kita terus dekat dengan Dia dalam doa.