Antara semua perkara bodoh, adakah masuk akal bahawa gara-gara kuih dan roti sahaja yang menyebabkan tercetusnya perang antara negara? Pada tahun 1832, di tengah-tengah ketegangan antara Perancis dan Mexico, sekumpulan pegawai tentera Mexico pergi ke sebuah kedai pastri Perancis di Mexico City dan makan pelbagai jenis roti tanpa membayar. Walaupun butirannya menjadi rumit (dan provokasi-provokasi lain memburukkan lagi keadaan), akibatnya tercetusnya peperangan pertama antara Perancis dan Mexico (1838-1839), yang dikenali sebagai ‘Perang Pastri’. Lebih daripada tiga ratus orang askar mati. Akibat daripada kemarahan yang hanya seketika itu memang menyedihkan.

Kebanyakan konflik manusia—perkahwinan yang gagal dan persahabatan yang musnah—mungkin berpunca daripada jenis kemarahan yang tidak dikawal dengan baik. Sikap mementingkan diri dan permainan kuasa, salah faham yang tidak dapat diselesaikan, sikap yang remeh dan saling balas-membalas—semuanya merupakan kebodohan. Selalunya, persepsi atau tindak balas kita yang tidak wajar menimbulkan kemarahan yang membawa kerosakan. Namun Pengkhutbah menawarkan kebijaksanaan: “Jangan hatimu cepat marah kerana amarah mendongkol dalam dada orang bodoh” (7:9).

Adalah bodoh untuk cepat marah dan mempunyai perasaan yang mudah tersinggung, terutamanya apabila Tuhan menawarkan cara yang lebih baik—mungkin melalui “celaan orang yang bijaksana” (ayat 5). Dengan mengejar kebijaksanaan, semoga “damai sejahtera Kristus memerintah dalam hati [kita]” (Kolose 3:15). Kita boleh hidup dalam kebijaksanaan dan pengampunan kerana Dia menolong kita.