Rose Turner, seorang ahli psikologi fesyen di Kolej Fesyen London (London College of Fashion), mengkaji kesan pakaian terhadap cara orang berfikir, berkelakuan, dan cara pakaian mempengaruhi sifat peribadi mereka. Sebagai benda yang paling hampir dengan badan kita, pakaian membentuk sejenis “kulit kedua” dan melekat pada kita untuk apa sahaja yang mungkin berlaku pada hari itu. Sebagai contoh, memakai pakaian profesional boleh “membantu aspek motivasi dan tumpuan” di tempat kerja, dan memakai pakaian yang klasik dengan nilai sentimental boleh menimbulkan keselesaan dalam situasi yang tertekan.
Fenomena psikologi ini memberi pemahaman tentang kata-kata nubuat Yesaya tentang pengorbanan Yesus. Dia mencatatkan pembebasan orang Yahudi daripada penawanan mereka di Babel pada masa depan, meyakinkan mereka bahawa suatu hari nanti mereka akan “membina semula tempat-tempat yang sudah lama rosak” (Yesaya 61:4). Pada hari itu, mereka akan memakai “jubah perbenaran” (ayat 10).
Nubuat Yesaya mula-mula digenapi semasa kembalinya bangsa itu ke Yerusalem dan kemudian sepenuhnya apabila “Allah menjadikan [Yesus] yang tidak mengenal dosa menjadi penanggung dosa untuk kita, supaya dalam Dia kita diperbenar oleh Allah” (2 Korintus 5:21). Kebenaran menggambarkan hubungan kita yang betul dengan Tuhan apabila kita percaya kepada pengorbanan Kristus. Tuhan tidak melihat kita berpakaian dalam keaiban atau kehinaan kerana dosa kita; sebaliknya, Dia melihat kita berpakaian dalam kebenaran Yesus yang kekal—“kulit kedua” yang melitupi kita dengan kegembiraan hari ini dan untuk selama-lamanya.