Lee tidak percaya kepada Tuhan, dan dia tidak percaya pada kebangkitan Yesus. Tetapi Lee merupakan seorang wartawan yang mempunyai pemikiran kritis. Apabila isterinya percaya kepada Yesus, dia memutuskan untuk menyelidiki iman baru isterinya sendiri. Selepas dua tahun membuat penyelidikan, dia menyerah—kepada Tuhan, kepada kebangkitan, kepada iman dalam Kristus.
Perubahan pada dirinya amat ketara. Selepas beberapa bulan, anak perempuannya yang berusia lima tahun berkata kepada isterinya, “Ibu, aku mahu Tuhan laku untuk aku apa yang Dia telah lakukan untuk ayah.” Kemudian anak perempuan Lee Strobel menaruh kepercayaannya kepada Yesus juga.
Ramai orang enggan mempercayai kebangkitan Yesus. Tetapi ramai saksi mata yang ternama telah melihat Yesus yang bangkit. Petrus, iaitu salah seorang saksi mata, memberitahu orang ramai bahawa Raja Daud pasti sudah mati dan dimakamkan (2:29). Kemudian Petrus menunjuk kepada nubuat yang telah disampaikan oleh Daud. “[Daud] bercakap tentang kebangkitan Kristus,” katanya (ayat 31). Petrus menyimpulkan, “Allah telah membangkitkan Yesus ini dan kami semua menyaksikannya” (ayat 32).
Bukti terbaik untuk kebangkitan ialah perubahan kehidupan para saksi mata, termasuk Petrus. Ketika penyaliban, para pengikut Yesus telah pergi bersembunyi. Petrus bahkan menyangkal Kristus sebelum itu (Yohanes 18:15-17, 25-27). Sebaik sahaja mereka melihat Yesus hidup, semuanya berubah. Dengan penuh keberanian, mereka mula menyebarkan satu-satunya kebenaran yang membawa pengharapan besar kepada dunia—Kristus yang telah bangkit.