Sebuah lukisan bertajuk “That They May All Be One” (Semoga Mereka Semua Menjadi Satu) yang digantungkan di Kolej Wolfson di Universiti Oxford merupakan sebuah lukisan zaman kini. Lukisan itu merangkumi sebuah meja yang kelihatan kosong, disertai dengan petak-petak panel berasingan, dan tiga belas buah cawan biasa di atasnya. Petak panel yang paling menonjol mengandungi roti dan cawan yang mewakili Yesus, sementara dikelilingi oleh dua belas petak panel individu yang mewakili pengikut-Nya. Lukisan sederhana itu menekankan pentingnya peristiwa ‘Perjamuan terakhir Yesus bersama murid-murid-Nya’.

Lukisan itu ialah peringatan yang indah tentang hidangan tersebut, yang Yesus mengambil roti dan cawan untuk memulakan perayaan baharu bagi semua pengikut-Nya, iaitu amalan perjamuan bersama. Saya amat menghargai barisan panel kosong yang melengkapkan lukisan tersebut kerana ruangan itu seolah-olah mengundang para penonton makan bersama-sama mereka di meja.

Paulus menggalakkan kita bahawa “setiap kali kamu makan roti dan minum dari cawan dengan cara demikian, kamu memberitakan kematian Tuhan hingga kedatangan-Nya” (1 Korintus 11:26). Setiap orang yang percaya bahawa kematian dan kebangkitan Yesus membuka jalan kepada kita untuk berdamai dengan Tuhan akan mempunyai ruang menunggu bagi mereka di meja perjamuan.

Dan apabila kita mengisytiharkan, atau mengingati pengorbanan Yesus semasa menyertai perjamuan Tuhan, kita bertindak sebagai satu kelompok orang yang percaya di seluruh dunia dan untuk sepanjang masa. Ia adalah sebagai imej perpaduan yang indah dalam gereja.