“Kami melambai-lambai sehingga mereka hilang daripada pandangan. Itulah cara untuk menunjukkan kami mengasihi mereka.” Kata-kata ibu saya ketika saya masih kecil menjelaskan satu kebiasaan yang dilakukannya dan ayah saya apabila ada saudara-mara meninggalkan rumah kami selepas mengunjungi kami. Ibu dan ayah akan berdiri di luar sambil melambai-lambai kepada mereka yang pergi sehingga mereka lenyap di kejauhan. Kadang-kadang mereka berdiri di situ untuk masa yang lama, tetapi itu tidak mengapa bagi mereka. Apabila saya sendiri sudah membesar dan berpindah ke tempat lain, barulah saya memahami sebabnya.
Melihat mereka melambai-lambai di cermin pandang belakang kereta menyentuh hati saya, dan saya berasa disayangi serta diambil berat. Hingga hari ini, saya masih mengucapkan selamat tinggal kepada pengunjung keluarga kami dengan cara yang sama sebagai tanda kasih kepada mereka. Inilah satu kebiasaan yang saya harap akan diteruskan oleh anak-anak saya.
Satu lagi cara yang kita dapat menyatakan kasih kepada keluarga kita adalah dengan menyampaikan kasih Tuhan seperti yang dikisahkan dalam Alkitab. Ketika orang Israel bersiap sedia untuk menyeberangi Sungai Yordan ke tanah perjanjian, Tuhan mengajar mereka tentang perintah-perintah ini untuk hidup: ”Letaklah perkataan-perkataanku ini dalam hati dan jiwamu … Ajarkanlah perkara ini kepada anak-anakmu dan bicarakanlah ketika engkau duduk di rumahmu, ketika engkau dalam perjalanan, ketika engkau berbaring, dan ketika engkau bangun” (Ulangan 11:18-19).
Inilah kata-kata yang suatu hari nanti akan digenapi dalam kasih Yesus yang sempurna. Dia berjanji, “Aku akan sentiasa bersamamu” (Matius 28:20). Apabila kita berkongsi kebenaran dan kebaikan-Nya, kita boleh percaya bahawa kasih-Nya mampu mengatasi setiap jarak.
