Dalam soneta God’s Grandeur (Keagungan Tuhan), karya penyair Gerard Manley Hopkins pada abad kesembilan belas, seniman sastera ini meraikan bagaimana ciptaan di dunia ini “terpenuhi” dengan keagungan Tuhan. Hopkins menggambarkan kemuliaan Tuhan yang menakjubkan, bernyala dan berkilau “seperti cahaya yang terpancar daripada kerajang logam.” Namun demikian, jika keindahan Tuhan begitu terserlah, mengapakah begitu ramai orang terlepas pandang? Hopkins berpendapat bahawa salah satu sebabnya ialah manusia telah menutupi segala sesuatu dengan “kotoran manusia” dan “bau manusia”—sehingga ramai orang tidak mampu lagi untuk melihat apa-apa selain diri mereka sendiri.
Mazmur 104 juga meraikan keindahan Tuhan dalam ciptaan. Dengan gambaran yang jelas, pemazmur menggambarkan Tuhan “penuh kehormatan dan keagungan” (ayat 1), memperlihatkan keindahan, kuasa, dan pemeliharaan-Nya melalui angin dan nyala api (ayat 4), guruh dan ombak (ayat 7), mata air, rumput, serta pokok (ayat 10-16).
Pemberian yang tidak terkira banyaknya, serta ciptaan-Nya yang menyerikan muka dan meneguhkan hati manusia (ayat 15) telah menunjukkan “kemuliaan TUHAN” (ayat 31), sama ada kita sentiasa menyedarinya ataupun tidak. Dalam puisinya, Hopkins menyimpulkan bahawa walaupun manusia buta terhadap kemuliaan Tuhan, namun oleh sebab kebaikan-Nya, alam semesta ini tetap “menyimpan nafas kehidupan yang paling indah. Jika kita berhenti sejenak sahaja untuk melihat dan merenung, ada banyak sekali alasan bagi kita untuk melihat, percaya dan meraikan keindahan serta kebaikan Tuhan “sepanjang hayat [kita]” (ayat 33).
keindahan-Mu di dunia ini. Tolonglah aku melihat dan meraikan keindahan-Mu serta pekerjaan Roh-Mu di sekeliling kami.
