“Siapakah nama ibu kandung saya?” Soalan tulus anak perempuan saya yang berusia tujuh tahun itu menusuk hati saya. Kami melalui pengambilan anak angkat secara persendirian, dan kami hanya diberikan maklumat asas tentang ibu bapanya: tinggi, berat, umur, warna rambut dan mata. Bagaimanakah saya harus menjawabnya? Soalan itu terasa mustahil! Saya menarik nafas dan berdoa, “Tuhan, apakah yang harus saya katakan?” Kemudian ayat ini terkeluar dari mulut saya, “Siapakah nama yang kamu mahu untuk dia?” Dia tersenyum lebar dan berkata, “Madeline!” “Baiklah, Madeline namanya!” kata saya. Saya percaya Tuhan telah memberikan jawapan ketika saya tidak tahu apa yang harus dikatakan.

Beberapa tahun selepas kematian Yesus, para pengikut-Nya menghadapi cabaran besar yang mereka memerlukan jawapan Tuhan dalam situasi yang kelihatan mustahil. Dalam Yohanes 14, Yesus berjanji bahawa Dia tidak akan meninggalkan mereka sendirian dan akan kembali untuk mendapatkan mereka (ayat 18). Selain itu, Tuhan akan menyediakan pertolongan yang berterusan: “Penolong, iaitu Roh Kudus yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu” (ayat 26).

Kadangkala persoalan yang diajukan terasa mustahil untuk dijawab. Kita memerlukan pertolongan dan jawapan Tuhan dalam hal anak-anak, pekerjaan, jiran dan dunia kita. Apabila kita tidak mempunyai jawapan, Dia dapat memberikannya.