Pada 21 November 1915, harapan Sir Ernest Shackleton dan dua puluh tujuh orang anak kapalnya seolah-olah lenyap bersama kapal mereka Endurance, apabila ia tenggelam ke dalam kegelapan di bawah ais Antartika. Mereka terperangkap ribuan kilometer dari rumah. Kemudian, anak-anak kapal itu berkongsi beberapa perkara yang membantu mereka bertahan, termasuk sebuah alat muzik, banjo. Apabila mereka memulakan perjalanan yang melelahkan itu, Leonard Hussey (ahli meteorologi ekspedisi) ialah satu-satunya orang yang dibenarkan untuk membawa lebih daripada 1 kg barangan peribadi. Dia dibenarkan membawa banjo Windsor miliknya yang seberat 5.44 kg. Shackleton memberitahu Hussey, “Ini merupakan ubat mental yang penting, dan kita akan memerlukannya.” Jurnal anak kapal merinci kuasa muzik Hussey.“Banjo itu … memberi makanan kepada otak,” tulis seorang anak kapal. Seorang lagi merenungkan tentang “banjo milik Hussey yang sangat diperlukan.”
Alkitab menggambarkan muzik sebagai salah satu anugerah Tuhan, salah satu cara yang Tuhan memberikan penyembuhan dan ketenangan-Nya untuk mencapai hati manusia. Dalam kisah tragis Raja Saul, kita mendengar bagaimana dia diganggu oleh “roh jahat” kerana ketidaktaatannya (1 Samuel 16:14). Apakah yang dipercayai oleh para pengiring Saul sebagai cara untuk meringankan penderitaannya? Muzik. Maka mereka menemui pemuda Daud bersama kecapinya: “Daud akan mengambil kecapi dan memetiknya. Setelah itu, Saul akan berasa lega dan nyaman, lalu roh jahat itu pun menjauhinya” (ayat 23).
Muzik menawarkan lebih daripada sekadar hiburan. Ia boleh membawa kegembiraan, memperbaharui harapan, dan menghiburkan jiwa yang letih lesu. Ia benar-benar adalah salah satu anugerah Tuhan yang penuh kuasa.
