Jika anda pernah mendengar ungkapan “albatros di leher saya”—frasa yang merujuk kepada beban yang melelahkan—anda pasti telah mendengar rujukan ini daripada puisi terkenal, karya penyair Inggeris Samuel Coleridge, “Rime of the Ancient Mariner” (Puisi Pelaut Tua). Dalam puisi itu, seorang pelayar menembak dan membunuh seekor burung albatros yang jinak dan mesra. Anak-anak kapal percaya perbuatan kejam pelayar itu mengutuk pelayaran mereka dan memaksanya memakai burung mati itu di lehernya sebagai hukuman.
Adakah anda mempunyai penyesalan dalam hidup yang terasa seperti beban berat di leher anda? Setiap orang mempunyai pengalaman yang kita sanggup melakukan apa sahaja untuk menebus masa lalu kembali. Kita mungkin berasa seolah-olah kita ditentukan untuk hidup dengan beban penyesalan dan rasa bersalah selamanya.
Namun, kasih kurnia Tuhan dapat membebaskan hati kita daripada penyesalan yang paling menyakitkan. Kita semua mempunyai dosa (1 Yohanes 1:8, 10), tetapi apabila kita dengan jujur mengaku beban kita kepada Tuhan, Dia berjanji akan “mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan” (ayat 9). Ketika kasih kurnia-Nya menyerbu masuk, cahaya dan kasih-Nya dapat mengalir melalui kita (2:10), membebaskan dan memampukan kita untuk mengasihii orang di sekeliling kita (3:14).
Dalam puisi Coleridge, akhirnya pelaut tua yang menderita itu mengalami kasih kurnia yang sama. Apabila kasih terhadap ciptaan Tuhan mengalir ke dalam hatinya dan mendorongnya untuk berdoa, burung albatros itu jatuh dari lehernya, lenyap selamanya “seperti timah ke dalam laut.”
ILHAM
Para rasul menulis pada masa yang penuh kekacauan dalam sejarah gereja. Mereka perlu membetulkan salah faham tentang Injil, termasuk siapa yang benar-benar menjadi sebahagian daripada gereja serta pelbagai salah faham tentang maksud sebenar kasih kurnia Tuhan.Dalam surat pertamanya, Yohanes menegur ajaran gereja awal yang secara terbuka bertolak ansur dengan dosa duniawi sambil mengatakan bahawa seseorang boleh tetap bersekutu dengan Yesus. Dia menolak pandangan tersebut dengan menegaskan bahawa hanya mereka yang hidup “dalam cahaya” (1 Yohanes 1:7) mempunyai hubungan yang benar dengan Tuhan. Namun, ini tidak bermaksud orang percaya kepada Kristus tidak berdosa (ayat 8). Sebaliknya, ini bermaksud bahawa kerana hubungan mereka dengan Tuhan, mereka boleh mengaku dosa dan menikmati pengampunan serta persekutuan dengan-Nya, walaupun hati dibebani penyesalan (ayat 9).
