Suatu ketika Adrián Simancas sedang berkayak di Selat Magellan di Chile bersama bapanya. Tiba-tiba, pemuda berusia dua puluh empat tahun itu tenggelam di dalam mulut seekor ikan paus kelasa. “Waktu itu saya sangka saya sudah mati,” kata Adrián semasa ditemu bual di sebuah stesen berita. Selepas beberapa saat, paus itu memuntahkan Adrián ke dalam air yang sejuk. Jaket keselamatannya membolehkan dia terapung di permukaan air, dan bapanya membantunya sampai ke tempat yang selamat.

Yunus, seorang nabi dalam Perjanjian Lama, juga pernah berjumpa dengan seekor makhluk laut yang besar. Yunus menolak untuk mengikuti arahan Tuhan untuk menyampaikan mesej pertaubatan kepada musuh orang Israel, iaitu orang Niniwe, lalu dia menaiki sebuah kapal yang belayar ke arah yang bertentangan. Apabila kapal itu tersekat dalam ribut, Yunus meyakinkan anak-anak kapal untuk melemparkannya ke dalam laut (Yunus 1:11-12, 15). “Maka TUHAN menetapkan dan ketika itu datanglah seekor ikan besar lantas menelan Yunus, dan selama tiga hari dan tiga malam, Yunus tinggal di dalam perut ikan itu” (ayat 17). Yunus, yang mulanya melarikan diri daripada Tuhan kini berseru kepada-Nya: “Lalu Yunus pun berdoa kepada TUHAN, Allahnya, dari dalam perut ikan itu” (2:1).

Tuhan mendengar seruan Yunus dan menyelamatkannya (ayat 10). Kemudian Yunus menyampaikan mesej Tuhan kepada orang Niniwe, dan mereka bertaubat (3:8-10)

Jika Tuhan mendengar seruan Yunus dari dalam seekor ikan besar, Dia juga mendengar seruan kita dan menyelamatkan kita di mana sahaja kita berada. Daripada melarikan diri daripada Tuhan, marilah kita berlari kepada-Nya dalam doa, ketahuilah bahawa Dia akan menjawab kita apabila kita berseru kepada-Nya.