Saya sedang menidurkan cucu lelaki saya semasa dia menginap di rumah kami. Apabila penanda Alkitabnya terbuka pada Mazmur 23, dia membantah, “Kan kami sudah baca bagian ni.” Selepas saya mencadangkan bahawa kami mungkin dapat belajar sesuatu yang baharu, dia pun membaca dengan kuat, “TUHAN ialah gembalaku, aku tidak akan kekurangan apa-apa pun. Dia membuat aku berbaring di pandan rumput yang hijau.” Pandan?! Saya menjelaskan bahawa perkataan itu ialah padang, bukan pandan. Saya faham sebab dia menyebut perkataan ini kerana beberapa jam sebelumnya, saya telah membawa dia pergi ke sebuah kedai roti dan kami telah menikmati kek pandan yang enak. Tafsirannya amat jelas: Bagi dia, kedai roti tersebut menggambarkan tempat untuk berehat dan berseronok.
Mazmur 23 mungkin begitu biasa bagi kita sehingga kita terlepas maknanya yang mendalam. Daud, seorang raja yang sangat biasa dengan penggembalaannya, menggambarkan penyediaan Tuhan sepanjang hidup dalam keadaan yang indah (ayat 5-6) dan mencabar (ayat 4). Dia menunjukkan bahawa Tuhan yang baik memimpin kita ke tempat yang kita boleh merasai kehadiran-Nya, diperbaharui, dan bersedia untuk apa yang akan datang. “Padang rumput yang hijau” (ayat 1) dan “air tenang” (ayat 2) ialah tempat tinggal domba, dan kita adalah domba Tuhan (ayat 1).
Interpretasi lurus oleh cucu lelaki saya membuka mata saya kepada “padang rumput hijau” yang disediakan Tuhan untuk saya—tempat yang saya dapat memperoleh rehat, keseronokan dan pemulihan dalam kehidupan seharian. Misalnya matahari terbenam berwarna keemasan, padang yang menghijau, sudut yang tenang, dan kedai roti yang mengeluarkan aroma yang menyenangkan. Saya sangat gembira kerana kami membaca Mazmur 23 sekali lagi!
