Berkunjung ke Switzerland merupakan impian yang telah lama diidamkan oleh ayah saya. Selepas dia disahkan menghidap demensia yang menjejaskan bahagian depan dan sisi otaknya (frontotemporal), ibu saya memutuskan untuk menemaninya selagi dia masih mampu bergerak. “Suatu hari, dengan salji bertiup di sekitar kami di Gunung Titlis,” katanya, “saya melihat kegembiraan yang mendalam di wajah ayahmu. Itu merupakan satu kegembiraan kerana impian menjadi kenyataan.” Namun, kemudian, air mata ibu saya mengalir apabila ayah saya bertanya, “sekali lagi, kita ada di mana?”
Ayah saya mungkin lupa bahawa dia berada di Switzerland, tetapi “lawatan itu berbaloi,” kata ibu saya. “Sekurang-kurangnya untuk satu ketika, dia tahu, dan dia berasa gembira.”
Tuhan meyakinkan kita tentang masa di mana kegembiraan tidak akan diambil daripada kita lagi. Kerana harapan kita kepada Yesus, kita boleh menantikan “langit baru dan bumi baru” (Wahyu 21:1), di mana kita akan bebas daripada dosa dan kematian (Roma 5:12). Di dunia yang sempurna itu, Tuhan akan “mencipta segalanya baru” (Wahyu 21:5). “ ‘Allah akan menghapuskan setiap titik air mata [kita]. Tiadalah lagi kematian, kesedihan dan tangisan. Tiada lagi kesakitan, kerana segala yang lama telah lenyap’ ” (ayat 4). Apa pun penderitaan yang kita alami sekarang adalah sementara. Tuhan berjanji bahawa suatu hari nanti “Hal-hal yang dahulu tidak akan diingat lagi” (Yesaya 65:17). Ia akan hilang selama-lamanya.
Saya tahu bahawa suatu hari nanti, apabila kita bersama Tuhan (Wahyu 21:3), saya akan melihat kegembiraan di wajah ayah. Pada masa itu, kegembiraan ini akan kekal.
ILHAM
“Langit baru dan … bumi baru” (Wahyu 21:1) akan memulihkan rancangan asal Tuhan secara kekal seperti yang wujud di Taman Eden (rujuk Kejadian 1–2). Dalam ciptaan baru ini, yang telah dinubuatkan dalam Yesaya 65:17, pemeliharaan dan perlindungan-Nya yang berdaulat akan dinikmati selama-lamanya (Wahyu 7:14–17). Sepanjang Kitab Suci, Tuhan menawarkan kehadiran-Nya kepada umat-Nya: selepas air bah (Kejadian 8:13-21), dalam peristiwa Keluaran dari Mesir (Keluaran 15), ketika menetap di tanah perjanjian (Ulangan 8:7-10; 12:10), semasa perasmian bait suci (1 Raja-raja 8:27-29), dan secara khusus melalui pelayanan Yesus (Yohanes 1:14, 18; 14:16-17). Orang yang percaya kepada Kristus telah “dilahirkan semula” (Yohanes 3:3) dan menjadi “ciptaan baru” (2 Korintus 5:17). Kehadiran Tuhan yang dahulu dinikmati di Taman Eden dan kemudian terutama dialami melalui Bait Suci kini tersedia kepada semua orang apabila Yesus datang sebagai Imanuel—“Allah menyertai kita” (Matius 1:23). Roh-Nya diam di dalam setiap orang percaya yang menantikan kedatangan-Nya (Roma 8:9, 23). Kita boleh menantikan masa depan bersama Kristus―mengalami kehadiran dan sukacita-Nya yang tidak akan dirampas daripada kita.Tim Laniak
