Berkunjung ke Switzerland merupakan impian yang telah lama diidamkan oleh ayah saya. Selepas dia disahkan menghidap demensia yang menjejaskan bahagian depan dan sisi otaknya (frontotemporal), ibu saya memutuskan untuk menemaninya selagi dia masih mampu bergerak. “Suatu hari, dengan salji bertiup di sekitar kami di Gunung Titlis,” katanya, “saya melihat kegembiraan yang mendalam di wajah ayahmu. Itu merupakan satu kegembiraan kerana impian menjadi kenyataan.” Namun, kemudian, air mata ibu saya mengalir apabila ayah saya bertanya, “sekali lagi, kita ada di mana?”

Ayah saya mungkin lupa bahawa dia berada di Switzerland, tetapi “lawatan itu berbaloi,” kata ibu saya. “Sekurang-kurangnya untuk satu ketika, dia tahu, dan dia berasa gembira.”

Tuhan meyakinkan kita tentang masa di mana kegembiraan tidak akan diambil daripada kita lagi. Kerana harapan kita kepada Yesus, kita boleh menantikan “langit baru dan bumi baru” (Wahyu 21:1), di mana kita akan bebas daripada dosa dan kematian (Roma 5:12). Di dunia yang sempurna itu, Tuhan akan “mencipta segalanya baru” (Wahyu 21:5). “ ‘Allah akan menghapuskan setiap titik air mata [kita]. Tiadalah lagi kematian, kesedihan dan tangisan. Tiada lagi kesakitan, kerana segala yang lama telah lenyap’ ” (ayat 4). Apa pun penderitaan yang kita alami sekarang adalah sementara. Tuhan berjanji bahawa suatu hari nanti “Hal-hal yang dahulu tidak akan diingat lagi” (Yesaya 65:17). Ia akan hilang selama-lamanya.

Saya tahu bahawa suatu hari nanti, apabila kita bersama Tuhan (Wahyu 21:3), saya akan melihat kegembiraan di wajah ayah. Pada masa itu, kegembiraan ini akan kekal.