Kemurahan hati Stanley sentiasa mengagumkan saya. Dia sering membeli makanan dan menghadiahkannya kepada anggota gereja yang lebih tua, para pembersih di kawasan kejiranannya, atau sesiapa sahaja yang memerlukan dorongan dan penghiburan.

Yang menakjubkan lagi, walaupun Stanley bukan seorang yang kaya atau mahir dalam pelaburan, sumbangan kecilnya berkembang dengan baik, membolehkannya terus memberi. Setiap kali seseorang mengucapkan terima kasih kepadanya, dia akan menunjuk ke atas dan tersenyum, seolah-olah berkata, “Ini datang daripada Tuhan, bukan daripada saya.” Dia sering menekankan bahawa Tuhanlah yang memampukan dia untuk menolong orang lain.

Inilah yang dimaksudkan oleh Paulus dalam 2 Korintus 9 ketika dia menulis tentang pemberian. Paulus berasa bangga dengan kesediaan orang Korintus untuk membantu saudara seiman (ayat 2), dan dia berharap dia dapat mengumpulkan sumbangan yang telah mereka mulakan (ayat 3). Paulus menggesa mereka memberi dengan murah hati dan gembira, sambil menekankan bahawa Tuhan bukan sahaja akan memberi ganjaran kepada mereka yang memberi (ayat 6-7), tetapi juga memberkati mereka supaya mereka dapat memberi dengan lebih banyak lagi (ayat 8).

Tuhan tidak mengharapkan kita memberi apa yang kita tidak mampu (2 Korintus 8:12). Sebaliknya, Dia mempercayakan kita dengan wang, masa, atau bakat supaya kita “berlebihan pula untuk amal kebajikan” (9:8), dan Dia menyediakan apa yang kita perlukan agar kita “terus-menerus bermurah hati” (ayat 11). Itulah sebabnya kita boleh memberi dengan iman dan hati yang gembira (ayat 7), kerana kita memberi hanya daripada apa yang telah diberikan kepada kita. Dalam proses itu, kita memuliakan nama Tuhan (ayat 13).